APABILA melangkah ke fasa dewasa, hari raya tidak lagi sama
kemeriahannya seperti zaman kanak-kanak. Itu perubahan normal yang dilalui
kebanyakan insan dan perkara itu diakui dua sahabat popular, Scha Al-Yahya dan
Lisa Surihani.
Bagaimanapun, apabila bergelar isteri kepada Awal Ashaari
dan Yusry Abdul Halim, persepsi mereka berubah kerana kemeriahan itu
seakan-akan kembali mencuit tangkai hati. Mana yang hambar kembali berseri,
mana yang dirasakan biasa-biasa saja kembali terasa istimewa.
Pendek kata, perasaan teruja menyambut kehadiran Ramadan,
penghulu segala bulan, semalam bersama pasangan masing-masing tidak dapat
digambarkan dengan kata-kata.
Itulah yang dikongsi dua jelitawan ini ketika menjayakan
sesi fotografi eksklusif bersama SELEBRITI yang menjadi pembuka tirai edisi
Ramadan.
Anggun dalam persalinan sentuhan pereka fesyen terkenal,
Syaiful Baharim, baik Scha mahupun Lisa rancak berkongsi perancangan sepanjang
Ramadan dan persiapan sambutan lebaran yang menjadi tanda kemenangan umat Islam
mengharungi cabaran mengerjakan ibadah puasa.
Semalam, buat kali pertama mereka berpuasa sebagai isteri
dan semestinya momen itu sungguh indah. Bersahur, berbuka puasa dan mengerjakan
solat tarawih bersama kekasih hati mengundang rasa luar biasa di hati.
Apatah lagi sebagai suri, mereka gembira dapat menyediakan
juadah untuk suami dengan tangan sendiri.
Bagi Scha, amalan bersahur dititikberatkan setiap kali
tibanya Ramadan. Segala rasa mengantuk hilang apabila tangan rancak memasak dan
menghidangkan sajian di atas meja. Tambah seronok apabila Awal berselera
menjamu juadah air tangannya.
“Lain rasanya apabila bergelar isteri orang. Kalau dulu saya
makan saja apa yang ada ketika bersahur, tetapi kini saya lebih
bersungguh-sungguh dalam menyediakan makanan.
“Demi suami, saya sanggup bangun awal, memasak apa saja yang
dia teringin makan. Senang cerita, kalau boleh, saya mahu sajikan yang terbaik
untuknya.
“Kami juga sepakat untuk berbuka puasa bersama-sama. Saya
mahu menikmati detik ini dan kerana itu mengurangkan aktiviti seni sepanjang
Ramadan.
“Awal yang sibuk kerana jadual kerja padat, jadi saya akan
ke tempat kerjanya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama.
“Menu kegemaran kami apabila berbuka adalah ayam percik dan
untuk pencuci mulut, saya suka kuih popia manakala Awal pula seri muka,”
katanya.
Bintang Awan Dania ini juga menjual baju raya di kios
shapoholic di pusat beli-belah The Curve. Kata Scha, ada banyak pilihan cantik
dan harganya berpatutan antara RM150 hingga RM300.
Sementara itu, Lisa berkata, suaminya tidak cerewet dalam
soal penyediaan makanan. Masaklah apa saja, asalkan bukan makanan Itali dan
Korea.
Sepanjang mengenali hati budi Yusry, dia tahu pengarang
jantungnya tidak gemar berbuka puasa di luar, sebaliknya lebih selesa di rumah
kerana tidak perlu terkejar-kejar, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan
menunggu lama hidangan dipesan.
“Biasalah, setiap kali puasa, ramai berpusu-pusu mahu pulang
awal untuk berbuka puasa bersama keluarga dan ia menyebabkan kesesakan lalu
lintas. Jika berbuka puasa di luar pula, boleh dikatakan semua tempat penuh
kerana ramai orang.
“Yusry bukan jenis suka terkejar-kejar dan menunggu lama
untuk berbuka puasa.
Jadi, berbuka di rumah lebih sesuai. Lagipun, kalau berbuka
di rumah nak solat pun senang.
“Bagaimanapun, saya ingatkan dia, jika ada undangan berbuka
puasa, kena pergi.
Orang dah jemput, tak baik pula kita tolak.
“Saya sangat teruja merancang menu untuk bersahur dan
berbuka. Apa yang suami mahu dan teringin makan, sebagai isteri saya mesti
sediakan. Buat masa ini kami masih menetap di rumah keluarga kerana rumah baru
kami di Kajang belum siap.
“Seronok dapat bersahur dan berbuka puasa ramai-ramai. Kami
berulang-alik ke rumah keluarga masing-masing, bergantung mana yang lebih dekat
dengan tempat kerja,” katanya yang terikat dengan penggambaran drama Mana
Hilangnya Juwita untuk Astro Ria hingga pertengahan Ramadan.
Menyentuh sambutan Aidilfitri, Scha terharu apabila Awal
meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya untuk melakukan persiapan, termasuk
kuih raya, baju raya dan menghias kediaman mereka.
Keseronokan itu lebih terasa apabila buat kali pertama,
mereka akan mengadakan rumah terbuka. Justeru, dari awal dia merangka bagaimana
mahu menghias kediaman itu supaya nampak cantik apabila tiba lebaran.
“Saya tak pernah buat rumah terbuka, jadi tentu saya gembira
bila Awal bersetuju dengan cadangan ini. Awal percaya dengan selera saya dan
dia menyerahkan tanggungjawab menghias rumah, memilih langsir, kuih raya dan
baju raya kepada saya. Mungkin hijau menjadi warna tema pilihan saya untuk raya
ini.
“Soal beraya di mana dulu, kami tiada masalah kerana rumah
keluarga saya dan Awal dekat saja. Saya akan beraya di rumah mentua sebab
keluarga Awal ramai tetapi sebelum itu, saya akan jumpa keluarga saya terlebih
dulu untuk bersalam-salaman.
“Pada hari raya ketiga, kami akan pulang beraya di Kedah.
Awal tak sabar-sabar menanti detik itu sebab dia tak ada kampung.
“Kalau bercakap bab raya, menu wajib keluarga saya adalah
roti kerca yang dicicah dengan kuah daging hancur. Awal suka makan, jadi saya
akan masak untuk dia.
“Selain itu, antara hidangan yang selalu ada adalah laksa,
ketupat jagung, rendang dan kuih muih. Sebelah keluarga Awal pula, saya suka
makan nasi ayam dan rendang dibuat ibu mentua,” katanya yang tidak lekang
dengan senyuman.
Lisa pula menyerahkan urusan memutuskan beraya di mana dulu
kepada Yusry sepenuhnya. Tiada ragu kerana dia yakin suaminya mampu bersikap
adil dalam soal pembahagian, apatah lagi dari dulu lagi buah hatinya sedia
maklum keakraban hubungannya dengan keluarga.
“Tahun lalu, Yusry pernah datang beraya di rumah keluarga
saya dan saya juga mengikut Yusry beraya di kampung halamannya di Gopeng,
Perak. Menerusi kunjungan istimewa itu, kami belajar menyesuaikan diri dengan
keluarga masing-masing.
“Alhamdulillah, kali ini lebaran lebih bermakna buat kami
kerana menyambutnya sebagai suami isteri. Cara persiapan juga berbeza dengan
zaman bujang kerana saya sudah berkeluarga.
“Selain menyediakan apa yang perlu untuk keluarga sendiri,
saya kena fikirkan mentua dan ipar duai. Saya suka buat persediaan awal dan
sudah belikan Yusry baju raya sebelum puasa.
“Sejak ketiadaan ayah, sambutan puasa dan raya terasa
hambar. Kehadiran keluarga baru bagaimanapun sedikit sebanyak dapat mengubat
kehilangan itu.
Terasa kembali kemeriahan yang sudah lama hilang dan saya
bersyukur ke hadrat Ilahi,” katanya yang ditemani ibu tercinta