Sebanyak 1.27 juta kakitangan awam akan mendapat duit raya
apabila kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang
dibayar pada pertengahan bulan ini.
Selain itu, kerajaan mengumumkan berita gembira untuk
590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500
Ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam
sebagai menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan
menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara. Pembayaran bonus dan Bayaran
Khas Kewangan itu membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.
“Kerajaan berharap ia meringankan beban penjawat awam dan
pesara kerajaan serta membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sangat
menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga
penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” katanya.
Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 30 Ogos ini.
Ini adalah kali ketiga berturut-turut penjawat awam dan pesara mendapat duit
raya. Pada tahun lalu dan 2009, kerajaan memberikan Bantuan Khas Kewangan
kepada kedua-dua kumpulan itu sebelum 1 Syawal.
Kali terakhir kerajaan membayar bonus sebulan gaji atau
minimum RM1,000 kepada penjawat awam adalah pada September dan Disember 2008.
Sementara itu, Najib yang bercuti sejak 1 Ogos lalu selepas
menjalani pembedahan ‘Arthoscopic’ di lutut kiri memulakan tugasnya pagi
semalam.
Beliau yang tiba di pejabatnya di bangunan Perdana Putra
kira-kira jam 9.40 pagi kelihatan ceria dan sihat sebelum mempengerusikan
Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib
dibenarkan bertugas selepas doktor berpuas hati dengan proses penyembuhannya.
Kecederaan lama Perdana Menteri berulang selepas menendang
bola ketika merasmikan pertandingan futsal di Himpunan Sejuta Belia di
Putrajaya pada Mei lalu. Bagaimanapun, doktor menasihatkan beliau mengehadkan
aktiviti harian pada waktu ini sehingga pulih sepenuhnya.
Selain melaksanakan tugas pejabatnya, Perdana Menteri hadir
pada majlis berbuka puasa bersama anggota Kabinet di kediaman rasminya di Seri
Perdana petang semalam
pemberian bonus lain:>
PEMBERIAN
BONUS..... klik~